fbpx

PdPR: Apa Kata Pelajar?

Be the first to get latest stories.
Follow Cemerlang's Telegram channel.

Oleh Nik Hazeeq Mirza Nik Mohd Hanafi

Pejam celik pejam celik, PdPR datang lagi! Nampaknya perlulah kita semua bersiap sedia untuk menjalani proses pembelajaran jarak jauh sekali lagi tahun ini. Sejauh manakah persediaan anda?

Kira-kira 8 bulan daripada jumlah bulan persekolahan para pelajar di Malaysia dilaksanakan di rumah dari Mac 2020 sehingga Mac 2021. Berikutan itu, jumlah sesi persekolahan pelajar secara bersemuka di sekolah berkurang kepada 60% pada tahun 2020.

Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah, atau singkatannya PdPR terpaksa dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh negara, malahan konsep yang sama telah diimplimentasikan di seantero dunia.

Ianya merupakan respons Kementerian Pendidikan Malaysia selari dengan usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang mula menghantui seluruh dunia sejak Mac tahun lepas.

PdPR telah banyak memberi kesan kepada murid-murid, guru-guru serta para ibu bapa sepanjang pelaksanaannya. Sebagai pelajar, kita tahu benar akan pengalaman tersebut dan implikasinya terhadap proses pembelajaran.

1. Masalah capaian Internet dan peranti elektronik.

Tidak dapat dinafikan bahawa PdPR telah membuka jurang yang amat luas antara golongan yang berlainan taraf sosial di negara kita. Pelajar daripada kawasan bandar yang bernasib baik mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk menyertai PdPR. Tetapi bagaimana pula dengan pelajar luar bandar yang kurang bernasib baik?

Liputan Internet yang tidak dapat dicapai sepenuhnya serta ketidakupayaan keluarga untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan merunsingkan para pelajar serta pihak sekolah.

Masyarakat tidak asing lagi dengan kisah saudari Veveonah Mosibin, pelajar IPTA dari Sabah yang perlu memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang cukup kuat untuk menjawab soalan-soalan peperiksaannya. Manakala di Seremban, seorang ibu terpaksa meminjamkan telefon pintarnya kepada 5 orang anaknya yang bergilir-gilir mengikuti PdPR.

Cuba bayangkan berapa ramai lagi pelajar daripada kawasan pedalaman yang menghadapai masalah yang sama? Sungguhpun pelajar-pelajar tersebut mempunyai kemahuan untuk menuntut ilmu, kekangan seperti ini mengikat mereka daripada beranjak ke hadapan.

Kerajaan seharusnya bertindak dengan lebih efisien dalam menangani isu ini. Tindakan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Muar mengumpul dana sebanyak ratusan ribu ringgit untuk mengagihkan komputer riba dan tablet kepada pelajar-pelajar miskin di Muar sewajarnya dicontohi kerajaan serta wakil rakyat yang lain.

2. Proses pembelajaran baharu menimbulkan pelbagai reaksi

Pelbagai teknik digunakan oleh para guru untuk melaksanakan PdPR dengan cara yang paling efektif sesuai dengan anak murid mereka. Para guru kini harus menyesuaikan sesi pembelajaran mereka secara atas talian dengan menggunakan teknologi moden.

Hal ini sebenarnya selaras dengan dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggariskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sebagai satu komponen yang penting dalam proses pembelajaran di sekolah.

Antara kumpulan yang paling terkesan dengan PdPR ialah kanak-kanak prasekolah, murid darjah satu sekolah rendah dan murid pendidikan khas yang tidak berpeluang mengalami dan mengenali alam persekolahan. Guru pendidikan awal dan pendidikan khas kanak-kanak juga perlu memikirkan inisiatif baharu untuk mengendalikan PdP mereka dengan berkesan melalui alam maya.

Sejurus itu, pihak sekolah serta para pelajar harus melangkah ke luar zon selesa. Pelbagai jenis platform diguna pakai oleh pihak sekolah dan para pelajar untuk memaksimumkan kapasiti pembelajaran.

Sesetengah pelajar lebih berpuas hati dengan cara ini. Mereka dapat mengikuti kelas dari keselesaan bilik tidur mereka sendiri serta tidak perlu berpakaian uniform. Mereka juga lebih teruja dengan penggunaan teknologi maya dalam proses belajar.

Namun begitu, ramai juga pelajar yang berhadapan kesukaran untuk mencernakan ilmu tanpa PdP secara fizikal, sekali gus memberikan kesan buruk kepada kesihatan mental pelajar.

Kesimpulannya, pelaksanaan PdPR adalah penting untuk memastikan kelangsungan pembelajaran biarpun kita saling berjauhan antara satu sama lain. Sebagai pelajar, kita sewajarnya menerima cabaran ini sebagai satu batu loncatan untuk terus mara ke hadapan. Pada kemudian hari, semangat waja untuk menimba ilmu pengetahuan menggunakan apa cara sekalipun jua yang menandakan sukses PdPR dari segi individu.

Leave a Reply